Rafizi dedah surat projek KASA diluluskan MOF selepas Parlimen bubar

0
1

RAFIZI Ramli mendakwa telah mendedahkan surat kelulusan projek yang diluluskan Kementerian Kewangan kepada Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) pada 27 Oktober, selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, surat itu menunjukkan projek menaik taraf loji dan kerja rasionalisasi kawasan tadahan pembentungan Klang Selatan itu telah dianugerahkan kepada syarikat Mangkubumi Sdn Bhd.

“Sejak awal saya mendedahkan projek-projek di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang diberikan kepada Mangkubumi Sdn Bhd, saya telah menegaskan bahawa memang ada usaha untuk memberi kelulusan projek selepas Parlimen dibubarkan yang melanggar peraturan Perbendaharaan dan undang-undang.

“Setakat ini, jawapan dari (Datuk Seri) Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri KASA dan (Datuk Seri) Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Kewangan banyak bersilat di sebalik persoalan prosedur perolehan kerajaan. Belum ada keterangan yang jelas dan banyak persoalan masih belum dijawab,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Rafizi berkata, surat itu mengesahkan bahawa ada projek yang diluluskan oleh menteri-menteri Barisan Nasional (BN) dan PAS selepas Parlimen dibubarkan yang secara jelas melanggar undang-undang.

“Setakat ini, projek-projek yang telah diluluskan ini masih tidak dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) kepada Mangkubumi Sdn Bhd akibat dari pendedahan-pendedahan saya.

“Pengesahan bahawa memang ada projek di bawah KASA yang diberi kelulusan secara rundingan terus selepas Parlimen dibubarkan mempersoalkan sama ada Tuan Ibrahim Tuan Man berbohong minggu lepas ketika saya mula-mula mempersoalkan perkara ini,” katanya.

Justeru, Rafizi mendesak Tuan Ibrahim menjawab beberapa perkara berbangkit daripada pendedahan surat berkenaan.

“Selain dari menjawab mengenai sama ada beliau berbohong atau tidak, atau ingin menyembunyikan sesuatu, beliau juga perlu menjawab kenapa projek-projek besar KASA diberikan (sebahagian besarnya secara rundingan terus atau tender terhad) kepada sebuah syarikat sahaja iaitu Mangkubumi Sdn Bhd?

“Setakat yang saya dedahkan, projek-projek yang berjumlah hampir RM5 bilion telah diberikan kepada satu syarikat sahaja?

“Monopoli projek-projek besar oleh satu syarikat menyebabkan kerajaan tidak mendapat harga yang terbaik berbanding jika diadakan secara tender terbuka,” katanya. – Malaysiapost

Rafizi Ramli telah mendedahkan surat yang didakwa merupakan kelulusan projek yang diluluskan Kementerian Kewangan kepada Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) pada 27 Oktober, selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here