CALON Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Bentong, Young Syefura membuat dua laporan polis berhubung poster yang didakwa berunsur fitnah terhadapnya, hari ini.
Pemimpin DAP itu membuat laporan di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, meminta pihak berkuasa menangkap dalang yang terlibat dalam pemasangan poster berkenaan untuk menjamin keselamatan dirinya.
Bagaimanapun, difahamkan poster berkenaan telah diturunkan dan tidak mahu berkongsi gambar kerana bimbang ia akan tersebar.
“Laporan polis diambil bagi tindakan mencari siapa dalang arah budak-budak pasang ‘banner’ unsur fitnah kepada saya.
“Ia perlu bagi tujuan keselamatan. Mana tahu semasa kempen buat walkabout ada pihak lakukan sesuatu terhadap saya dan kumpulan saya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam siaran langsung melalui Facebook selepas membuat laporan polis berkenaan.
Selain itu, Rara juga membuat laporan polis terhadap satu video di media sosial yang didakwa menghasut.
Jelas Rara, beliau tidak menyangka ada lagi pihak yang masih menggunakan cara politik tidak matang dan fitnah untuk memburukkan lawan, dalam zaman kini. – Malaysiapost

