Zahid tidak akan jadi PM jika BN menang PRU15, kata Tok Mat

0
1

TIMBALAN Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan, memberi jaminan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak akan menjadi Perdana Menteri sekiranya gabungan itu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Calon kerusi Parlimen Rembau itu berkata, Umno sudah membuat keputusan bahawa calon Perdana Menteri ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, pelantikan Perdana Menteri terletak kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

“Jangan diragukan lagi (tentang pemilihan Perdana Menteri jika BN menang) tapi terpulang kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Kita hanya boleh mencadangkan saja.

“Seperti di Johor, kita mencadangkan nama Datuk Seri Hasni Mohammad kekal sebagai Menteri Besar, tetapi Sultan Johor mahukan orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ceramah di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kundur, Rembau, Negeri Sembilan, malam tadi.

Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata, Pakatan Harapan (PH) dilihat secara berterusan memainkan isu berkenaan kerana mereka tiada modal lain untuk mengelirukan rakyat.

Beliau berkata, mereka suka memomokkan rakyat yang BN akan melepaskan pemimpin tertentu daripada pendakwaan sekiranya BN menjadi kerajaan.

“Semasa 60 tahun BN mentadbir negara, berapa banyak pemimpin kita yang masuk penjara? Begitu juga ketika Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri pun kita tidak campur tangan kes Datuk Seri Najib (Razak).

“Tapi sebaik saja PH memerintah negara, mereka lantik (Tan Sri) Tommy Thomas sebagai Peguam Negara dan kerja pertama dilakukan ialah melepaskan Lim Guan Eng walaupun kes beliau ketika itu sedang didakwa.

“Ada juga pemimpin mereka yang dikenakan hukuman penjara 18 bulan tetapi ditukar kepada berkelakuan baik 20 bulan,” katanya.

Mohamad menyifatkan, rakyat sudah membuat keputusan parti mana yang akan mereka undi pada PRU15 ini, walaupun masih tinggal dua hari lagi tempoh berkempen.

“Rakyat sudah meluat dengan keadaan yang berlaku pada negara selepas PRU14,” katanya.

Semalam, Ismail Sabri menegaskan bahawa Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno tidak akan dicalonkan sebagai Perdana Menteri sekiranya BN menang PRU-15.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa isu berkenaan sepatutnya tidak timbul kerana ia telah diputuskan di peringkat Perhimpunan Agung Umno (PAU) ataupun Majlis Kerja Tertinggi (MKT). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here