HASRAT Dr Maszlee mempertahankan kerusi Parlimen Simpang Renggam pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) didakwa goyah susulan insiden ‘dihalau’ ketika berkempen tempoh hari.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, keadaan Maszlee yang merupakan ‘ahli politik segera’, tidak mempunyai penyokong akar umbi turut memberi gambaran betapa sukarnya bekas Menteri Pendidikan itu untuk menang sekali lagi di Simpang Renggam.
Katanya, calon Barisan Nasional (BN) di Simpang Renggam Datuk Hasni Mohammad, lebih berpeluang untuk merampas kerusi berkenaan.
“Maszlee ahli politik populis dan retoris. Dia ahli politik instant. Hasni sudah lama bergelumang dengan “grassroots”. Riwayat Maszlee dihujung tanduk.
“Maszlee adalah “ahli akademik selebriti” sebelum masuk politik. Dia terbawa bawa imej selebriti bila jadi Menteri. Dia gugur sebagai Menteri hanya beberapa bulan dilantik
“Tidak pernah Menteri gugur sebegitu cepat. Dia masuk “kluster katak” kerana tinggalkan Bersatu. Dia kalah teruk di PRN Johor. Padahal DUN Layang Layang di bawah Parlimen Simpang Renggam,” katanya di Facebook, hari ini.
Mengulas mengenai insiden menimpa Maszlee baru-baru ini, Mohd Puad berkata, satu dunia boleh tengok perangai Maszlee yang sebenar.
“Bila dihalang masuk ke pusat penempatan banjir, Maszlee jadi emosional. Dia kata, “Satu dunia tengok perangai Umno. Malu anak cucu tengok”.
“Maszlee lupa, satu dunia tengok perangainya yang emosional. Satu dunia tengok polisi pendidikannya hanya tukar kasut hitam. Dia lupa janjinya bayar resit tol orang Simpang Renggam,” katanya.
Pada PRU15 ini, Maszlee berdepan saingan empat penjuru mempertahankan Simpang Renggam.
Beliau akan ditentang Hasni yang merupakan bekas Menteri Besar Johor selain Mohd Fazrul Kamat (PN) dan Kamal Kusmin (GTA). – Malaysiapost

