PN tak beri mandat kepada Takiyuddin untuk kerjasama dengan BN – Muhyiddin

0
1
Sidang media Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Ibu Pejabat Perikatan Nasional (PN) Dutamas hari ini.

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyanggah kenyataan rakan gabungannya berhubung isu kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

Menurut Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, beliau tidak pernah memberi mandat kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, untuk bertindak sedemikian.

“Tujuan PN bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah untuk membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau Pakatan Harapan (PH).

“Saya sebagai Pengerusi PN tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN bagi tujuan membentuk kerajaan selepas PRU15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut calon kerusi Parlimen Pagoh itu, beliau yakin PN mampu membentuk Kerajaan Persekutuan dan negeri tanpa melibatkan parti lain.

“Saya berdoa dengan izin Allah dan sokongan padu rakyat, PN akan memenangi jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dan Negeri pada PRU15,” katanya.

Terdahulu, Takiyuddin yakin PN dapat membentuk kerajaan menerusi gabungan dengan parti lain terutama BN pada PRU15.

Beliau juga menjangkakan BN akan menerima gabungan tersebut namun menegaskan PN tidak akan menjalin kerjasama dengan PH.

“Saya yakin kita dapat bentuk Kerajaan Persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain termasuk BN. Apa yang pasti kita tidak menerima PH walaupun perlu gabungan.

“Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ada menyebut sekiranya kita tidak boleh bergabung sebelum PRU15, mungkin selepas PRU15 kita boleh wujudkan hubungan itu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here