PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menutup kempennya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan ucapan amanat ‘grand finale’ di Tambun.
Calon PH untuk Parlimen Tambun itu dijadual melakukannya di X Park Sunway City pada jam 9 malam yang dijangka menjadi tumpuan kehadiran media tempatan dan antarabangsa.
“Pada 18 November saya diminta membuat ucapan penutup di Putrajaya, tetapi saya memilih membuat ucapan penutup untuk seluruh negara dari Tambun.
“Jadi malam itu, seluruh media antarabangsa akan datang, jadi Tambun masuk peta dunia,” katanya berucap pada program Tambun Berselawat Bersama Anwar Ibrahim di Stadium Mini Manjoi, Ipoh, malam tadi.
Anwar berkata, antara pengisian yang akan diketengahkan pada amanat itu adalah berhubung hala tuju pentadbiran PH jika kembali menawan Putrajaya pada PRU15.
“Paling penting saya akan sebut soal ‘governance’, bukan soal lantik bagi saya menang Ahli Parlimen dan juga bukan soal mahu jadikan saya Perdana Menteri.
“Kita kena berubah..saya akan membuat (mengetengahkan) sesuatu yang menjana (masa depan) anak muda,” katanya.
Anwar berkata, ucapan amanat akan menyentuh soal bentuk kepimpinan negara yang bersih dan stabil bagi menjana pertumbuhan ekonomi.
Jelasnya, beliau akan memanfaatkan pengalaman sebagai Menteri Kewangan dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia serta Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk membantu negara.
“Sebelum bertanding saya berbincang dengan sahabat baik saya, Presiden Turki dan meminta bekerjasama bagaimana mahu mengangkat semula ekonomi negara.
“Ini penting kerana apabila diangkat, kita akan laksanakan program latihan khas ‘digitalisation technology artificial intelligence’, kalau (menang), itu antara yang akan kita buat di Tambun.
“Saya sudah ada rangkaian antarabangsa dan juga nasional, Insya-Allah ini untuk anak muda sama ada ijazah atau lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kita akan bantu menggunakan cara itu, saya sudah memikirkannya,” katanya. – Malaysiapost

