Peguam Negara akan mohon batal saman Tommy Thomas

0
1

JABATAN Peguam Negara akan memfailkan permohonan membatalkan saman oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, sebelum 15 Disember depan.

Dalam samannya, Tommy memohon perisytiharan ‘Laporan Pasukan Petugas Khas – Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk My Story: Justice In The Wilderness’ adalah dokumen tidak sah dan bertentangan undang-undang.

Peguam Kanan Persekutuan mewakili AGC, Shamsul Bolhassan berkata, permohonan pembatalan itu akan dibuat atas alasan tiada kausa tindakan munasabah dibuat oleh bekas Peguam Negara terbabit.

“Alasan lain dalam permohonan itu masih dibincangkan lagi,” katanya lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas pengurusan kes saman itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, menerusi sidang video hari ini,

Sementara itu, peguam bela Tommy, Lai Wei Shiung, memaklumkan yang hakim bersetuju pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 12 Januari tahun depan.

“Pada tarikh sebutan baharu, hakim akan menetapkan tarikh lain untuk pendengaran permohonan dibuat Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Pada 27 Oktober lalu, Tommy memfailkan saman melalui firma guaman Tetuan Tommy Thomas, dengan menamakan pengerusi dan ahli Pasukan Petugas Khas terbabit serta Kerajaan Malaysia selaku defendan.

Mereka adalah pengerusi, Datuk Seri JC Fong dan ahlinya; Datuk Seri Hashim Paijan, Datuk Dr Junaidah Kamarruddin, Datuk Jagjit Singh Bant Singh, Datuk Shaharudin Ali, K Balaguru, Farah Adura Hamidi dan Najib Suri.

Tommy turut memohon perisytiharan bahawa Pasukan Petugas Khas adalah badan tidak sah dan tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk melaksanakan fungsi yang diberikan oleh kerajaan.

Selain itu, turut dimohon adalah perisytiharan bahawa penerbitan laporan itu oleh kerajaan melanggar hak beliau seperti yang dilindungi oleh Perkara 5(1) (kebebasan asasi ) dan 13(1) Perlembagaan Persekutuan.

Laporan yang dinyahklasifikasi kerajaan pada 13 Oktober lalu, antara lain mengesyorkan supaya bekas Peguam Negara itu disiasat atas kemungkinan pelbagai kesalahan dilakukannya.

Ia antara tiga syor pasukan berkenaan dalam laporan siasatannya yang kini boleh diakses secara terbuka melalui laman sesawang rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here