PROGRAM kempen penyanyi yang juga ahli PKR, Afdlin Shauki di kawasan Parlimen Bagan Datuk di Perak semalam kecoh susulan provokasi daripada beberapa individu.
Ketika kejadian dipercayai di Hutan Melintang petang semalam, Afdlin sedang menyampaikan ucapan menggunakan pembesar suara sebelum didatangi beberapa individu memakai baju dengan logo Barisan Nasional (BN).
Afdlin berkempen bagi pihak calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mencabar Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam saingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Berdasarkan video yang tular, beberapa individu dilihat melakukan provokasi terhadap petugas pilihan raya PH termasuk menyatakan ‘Ini kawasan Bagan Datuk’.
Seorang lagi individu pula menyatakan: “Selama pegang Selangor apa korang buat”.
Beberapa individu lain kelihatan dapat menenangkan keadaan daripada menjadi lebih tegang.
Bagaimanapun Afdlin kelihatan tenang sambil mengajak sesiapa yang ingin bergambar dengannya supaya boleh berbuat demikian.
Sementara itu Shamsul Iskandar menerusi hantaran di Facebooknya mendakwa ada antara individu yang melakukan provokasi membawa parang.
Beliau juga mengakui terkesima apabila salah seorang dari mereka membangkitkan apa yang PH lakukan selama 15 tahun memerintah Selangor.
“Kalau nak dibandingkan kemajuan di Selangor dengan apa yang dilakukan Ahli Parlimen yang sama selama 27 tahun di Bagan Datuk, ibarat langit dengan bumi saudari saudari.
“Insya-Allah Bagan Datuk akan terima nafas baru sekiranya saya diberi mandat baru 19 November ini,” katanya.
Untuk rekod, dua lagi calon di kerusi Parlimen itu ialah calon Perikatan Nasional (PN), Dr Muhammad Faiz Na’aman serta calon bebas, Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail. – Malaysiapost

