MB Kedah perlu minta maaf, tarik balik kenyataan bankrap keluarga calon BN

0
2

SELEPAS memperkecilkan kemampuan wanita, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, didakwa pula memfitnah calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Setar, Tan Chee Hiong.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu didakwa menjaja cerita kononnya Chee Hiong bukan anak yang baik dan seorang ahli perniagaan yang tidak bagus menyebabkan bapa calon itu bankrap berpunca daripada beliau.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan
Pemuda Umno Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri meminta Menteri Besar Kedah itu memohon maaf dan menarik balik kenyataan bankrap keluarga calon BN itu.

“Cerita yang beliau bawa semasa ceramah kempen Perikatan Nasional (PN) Parlimen Alor Setar malam semalam itu tidak benar sama sekali.

“Beliau (Sanusi) yang tidak tahu cerita sebenar telah menokok tambah cerita bagi seronok para hadirin.

“Saya telah mendapat maklumat sebenar daripada Chee Hiong yang memaklumkan bapanya tidak bankrap, sebaliknya mengalami masalah kesihatan kerana menjalani pembedahan di kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, sekiranya dakwaan Muhammad Sanusi itu benar, beliau perlu mengemukakan bukti, jika tidak ia satu fitnah.

“Sudah-sudahlah Sanusi menyerang peribadi calon, kempen cara itu sudah ketinggalan dalam zaman politik matang dan moden sekarang ini.

“Cerita sahaja tawaran PN Kedah ataupun jelaskan kegagalan kerajaan Kedah sekarang yang gagal mengatasi masalah bekalan air, bola sepak merudum dan pelbagai isu lain,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here