GERAKAN Media Merdeka (Geramm) membidas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak memberi ruang kepada petugas media untuk melontarkan soalan pada sidang akhbar berhubung Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Geramm menegaskan, tugas media bukan hanya untuk mendengar secara sehala sebaliknya bertanyakan soalan bagi mendapatkan penjelasan lanjut dari pihak pengurusan SPR berhubung hal-hal berkaitan PRU15.
“Media bukan burung kakak tua. Tugas media adalah untuk bertanya, bukan hanya mendengar secara sehala dan melapor sesuai ‘selera’ yang punya acara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Geramm sehingga kini SPR belum memberi penjelasan berkenaan prosedur mengundi bagi individu yang disahkan positif Covid-19, susulan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini.
Kenyataan itu berkata, kegagalan atau keengganan SPR untuk membuka ruang kepada pihak media mendapatkan penjelasan lanjut berpotensi untuk menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat sekali gus melemahkan sistem demokrasi.
“Perlu diingatkan SPR mempunyai peranan penting sebagai sumber maklumat rasmi tentang proses pilihan raya, sementara media bertugas untuk menyalurkan maklumat yang tepat.
“Sekiranya SPR bertegas untuk tidak membuka ruang kepada petugas media, maka tiada keperluan untuk menjemput media hadir secara fizikal.
‘Cukup dengan menghantar kenyataan bertulis atau sesi dalam talian yang lebih menjimatkan masa semua pihak,” katanya.
Difahamkan, sehingga kini SPR telah mengadakan dua sesi sidang media, pertama untuk mengumumkan tarikh-tarikh penting dan seterusnya pengesahan jumlah calon-calon yang bertanding. – Malaysiapost

