KENYATAAN kontroversi pelakon Zul Huzaimy di sebuah program anjuran PAS di Terengganu baru-baru ini, tidak mewakili pendirian parti itu, kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Pengarah Pilihan Raya PAS itu berkata, kenyataan tersebut tidak boleh dinilai sebagai mewakili parti kerana selebriti berkenaan bukan dalam kalangan pimpinan atau ahli parti.
“Dia bukan pemimpin atau ahli PAS pun. Kalau dia hendak sabotaj kita, dia pergi program kita dan dia kata begitu, kemudian salahkan PAS. Tak boleh begitu, kerana dia bukan mewakili PAS.
“Saya pun tidak berani nak cakap bagi pihak PAS. Hanya presiden, setiausaha agung sahaja boleh buat begitu. Saya hanya boleh bercakap dalam bidang saya iaitu pilihan raya, itu sahaja,” katanya memetik Astro Awani.
Muhammad Sanusi sebelum itu diminta mengulas berkenaan kenyataan Zul Huzaimy yang kontroversi dan didakwa bersifat perkauman.
Kenyataan pelakon filem Remp-it itu dibuat menerusi rakaman video tular berdurasi 44 saat yang dirakam dalam satu program di Kemaman pada 4 November lalu.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menyifatkan kenyataan pelakon itu sebagai berbahaya, selain boleh memberi persepsi tidak baik kepada pemerintahan PAS.
“Di Kelantan, PAS telah memerintah selama 32 tahun. Tiada apa yang terjadi, malah semua orang hidup dengan aman damai. Jangan kata paksa orang masuk Islam, bersunat pun kita tidak paksa,” katanya.
Terdahulu, Zul Huzaimy tampil membuat permohonan maaf di atas kenyataannya yang menyebut ‘mahu menyembelih orang bukan Islam’ baru-baru ini.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di laman Instagram, dia memohon maaf atas ucapan yang didakwa disalah anggap sehingga mencetus pelbagai reaksi warganet.
Katanya, video tular itu perlu ditonton secara penuh bagi memahami maksud sebenar kenyataannya pada program berkenaan. – Malaysiapost

