AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Razlan Rafii mengkritik Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kerana sering mengeluarkan kenyataan mengelirukan setiap kali projek mega dilaksanakan kerajaan.
Menurutnya, Rafizi juga kerap menuduh kononnya semua projek yang dijalankan akan disalahgunakan demi kepentingan individu, sedangkan projek terbabit memberi kebaikan kepada rakyat.
“Ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, ada projek direct award dilaksanakan, namun ketika itu tidak salah, halal dan dibenarkan. Projek ini juga bukanlah berjumlah kecil, melibatkan ratusan juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Razlan, kebanyakan negara sedang menghadapi krisis cuaca dunia yang menyebabkan banyak bandar besar di dunia banjir sekali gus menyaksikan kerugian berbilion dolar.
“Sistem tebatan banjir sedang rancak dilaksanakan kebanyakan negara, bukan Malaysia sahaja. Ia bertujuan menyelamatkan nyawa dan harta benda rakyat.
“Bayangkan kita mempunyai kerajaan yang tidak meletakkan nyawa dan harta sebagai keutamaan, sebaliknya menggunakan apa sahaja modal untuk menghasut,” katanya.
Jelas Razlan, kerajaan meluluskan projek bernilai RM16 bilion termasuk projek tebatan banjir yang menjadi keperluan utama rakyat demi mewujudkan prasarana dan ekosistem sosial maju.
“Rafizi menghasut rakyat berkenaan projek penyelesaian isu banjir, di sebelah lain, PH memarahi Kerajaan kerana banjir, mengkritik kerajaan kerana sistem peparitan, rakyat mendesak untuk keluar dari masalah banjir, inilah kekeliruan yang ditimbulkan setiap waktu oleh Rafizi dan PH.
“Semoga rakyat semua terhindar daripada hasutan dan perlu menilai dengan akal dan bukan emosi, menghasut adalah perkara yang mudah,” katanya. – Malaysiapost

