Lelaki tinggal di lapangan terbang 18 tahun, meninggal dunia

0
2

LELAKI warga Iran yang menetap di lapangan terbang di Paris selama 18 tahun dilapor telah meninggal dunia dipercayai akibat sakit jantung.

Mehran Karimi Nasseri menjadikan ruang kecil di Lapangan Terbang Antarabangsa Charles de Gaulle sebagai rumahnya pada tahun 1988 selepas kehilangan dokumen yang mengesahkan statusnya sebagai pelarian.

Pengalamannya mencetuskan inspirasi filem ‘The Terminal’ lakonan Tom Hanks yang diterbitkan pada tahun 2004, ketika Mehran Karimi masih berada di lapangan terbang itu.

Pada tahun 2005, Mehran Karimi diberi bayaran lebih AS$300,000 (RM1.38 juta) sebagai hak ke atas kisahnya dan difahamkan menggunakan wang terbabit untuk mendapat kerakyatan British bagi memulakan kehidupan baharu.

Walaupun Mehran Karimi akhirnya diberi kebenaran untuk tinggal di Perancis, dia kembali ke lapangan terbang berkenaan beberapa minggu lalu di mana dia menghembuskan nafas terakhir.

Dilahirkan pada tahun 1945 di Khuzestan, Iran, Mehran Karimi terbang ke Eropah pada 1980-an bagi mencari ibunya.

Dia diusir dari London, Amsterdam dan Berlin kerana tidak memiliki dokumen imigresen yang diperlukan.

Disebabkan itu, dia terpaksa menjadikan Terminal 2F di Lapangan Terbang Antarabangsa Charles de Gaulle sebagai rumahnya.

Sebahagian besar masanya di situ dihabiskan dengan menulis mengenai kisah hidupnya serta membaca buku dan surat khabar.

Mehran Karimi ditemui bersama wang bernilai beberapa ribu euro – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here