Ismail Sabri bukan ‘PM Shopee’ – KJ

0
2
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=674572750706018&set=pb.100044598962055.-2207520000.&type=3

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob bukan Perdana Menteri Shopee, sebaliknya akan dilantik semula menjawat jawatan itu sekiranya Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin sekali lagi menegaskan tidak ada calon lain akan dilantik Perdana Menteri selain Ismail Sabri.

“Tidak ada orang lain, semua sudah setuju, jangan cakap ‘order’ lain, barang sampai lain. Ini bukan Perdana Menteri Shopee.

“Jangan Shopeekan Ismail Sabri, itu kekanda saya, mana tahu dia jadi Perdana Menteri, dia ada tempat yang kanan untuk saya dalam Kabinet akan datang.

“Jadi kita undi supaya dapat calon yang bagus dan kerajaan yang stabil, negara yang makmur dan Malaysia akan jadi sebuah negara yang hebat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ceramah di Kampung Melayu Sungai Buloh di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Khairy meminta penyokong Pakatan Harapan (PH) yang masih dalam dilema, supaya terus memilihnya sebagai Ahli Parlimen Sungai Buloh.

Beliau berkata, penyokong parti lawan tidak perlu memecahkan undi, sebaliknya memberi undi kepadanya dengan janji tidak akan meminggirkan mereka.

“Orang PH, saya tahu anda berada dalam dilema sama ada nak sokong PH atau bagi kepada KJ. Dia suka calon, tapi dia sayang parti dia, tapi kadang kala untuk penyokong PH, kena hantar isyarat kepada pemimpin anda, kena ada semak dan imbang di Sungai Buloh.

“Kalau orang PH pilih saya di Sungai Buloh, saya jaga juga orang PH di sini, bagi kemenangan kepada saya pada 19 November nanti,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas dakwaan penyandang kerusi Parlimen Rembau itu memfokuskan jawatan Perdana Menteri berbanding Parlimen Sungai Buloh, Khairy yakin mampu melaksanakan kedua-dua tugasan itu sekiranya diberi kepercayaan.

“Saya menjadi Menteri dan Ahli Parlimen sudah lama. Saya sudah membuktikan kemampuan saya dengan menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Apabila kita dilantik sebagai Menteri Kanan sudah pastilah banyak kelebihan termasuk lebih peruntukan, sekali gus menguntungkan penduduk Sungai Buloh, itulah visi saya,” katanya.

Khairy berkata, Umno juga sudah membawa banyak perubahan dengan menampilkan lebih ramai calon muda dan berharap generasi baru mampu mengambil alih parti itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here