SEORANG lelaki ditahan kerana dipercayai terbabit dalam perbuatan khianat membakar khemah di bilik gerakan MIC Taman Mutiara, Batu Pahat, malam tadi.
Jurucakap Media Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Superintendan Ibrahim Mat Som, berkata suspek berusia 28 tahun itu berjaya ditahan selepas polis menerima maklumat mengenai kejadian.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat telah menerima satu laporan pada jam 10.37 malam tadi berkaitan satu kejadian khianat dengan membakar khemah di bilik gerakan MIC di Taman Mutiara, Batu Pahat.
“Tindakan pantas polis telah berjaya menangkap lelaki warga tempatan di kawasan terbabit. Suspek disyaki dalam keadaan mabuk semasa tangkapan dibuat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda jika disabit kesalahan.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya bersikap secara rasional dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang,” katanya. – Malaysiapost

