Harap kemarahan warga tentera beri sokongan kepada BN – Hishammuddin

0
2

TINDAKAN Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghina Angkatan Tentera Malaysia  dengan dakwaan mendapat habuan RM300 untuk undi pos menyebabkan warga tentera kini marah kepada Ketua Pembangkang itu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menyifatkan sikap Anwar yang juga Presiden PKR itu adalah keterlaluan dan beliau tidak akan membenarkan penghinaan seperti itu terus berlaku.

“Isu undi pos ni bukan baru…takkan lah maruah dan nilai anggota tertera kita ni setakat RM300. Itu yang dituduh kepada kita.

“Orang akan tolak pertimbangan sempit terhadap anggota tentera kita ni. Saya harap kemarahan itu akan diterjemahkan kepada sokongan terhadap Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program ‘walkabout’ bersama calon BN, N16 Kamunting, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie di pasar minggu Medan Kamunting, Taiping, hari ini.

Sementara itu, beliau yang juga Bendahari Agung BN dan calon bagi Parlimen Sembrong, percaya semangat lebih tinggi ditunjukkan oleh pengundi Cina dan India kepada BN ketika ini.

Menurutnya, perkembangan itu susulan pengundi-pengundi berkenaan sudah boleh membuat perbandingan pemerintahan 22 bulan PH selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Selepas diberikan peluang masa PRU-14 tiada benda yang boleh dilakukan. Malah apa yang telah kita mulakan dulu dilengah lengahkan, dibatalkan, ditangguhkan. Tiada apa apa.

“Sehingga yang jadi mangsa rakyat itu sendiri, sebab itu kestabilan politik itu penting,” katanya.

Hishammuddin mendakwa kepimpinan PKR sendiri sedang bergolak dan berlaku situasi tegang antara Anwar dengan Timbalannya, Rafizi Ramli yang masih lagi panas sehingga kini.

“Walaupun dia orang kata tak serius tapi ia sangat serius.

“Dari segi fakta tertentu, dari segi ramalan,  pemilihan calon, pemecatan Tian Chua dia orang tak boleh setuju, sampai hari ni,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here