KEMENTERIAN Pengangkutan diarah mewujudkan jawatankuasa khas bagi menyiasat secara menyeluruh isu perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang tergendala kerana mengalami masalah sistem pemanduan automatik.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata siasatan perlu dilakukan daripada pelbagai aspek termasuk kenapa masalah itu berlaku sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sedang berjalan.
“Ini kali kedua sewaktu saya menjadi Perdana Menteri dan yang merungsingkan fikiran saya ia berlaku sewaktu kempen (PRU-15) sedang berjalan. Ini yang merungsingkan saya.
“Saya sudah beri arahan kepada Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ) supaya perkara yang sama tidak boleh berlaku di masa akan datang.
“Saya tak nak sebut (sabotaj) cuma merungsingkan saya kenapa berlaku sewaktu kita sedang berkempen dan kita akan siasat bukan sahaja dari segi punca kerosakan tetapi akan siasat secara menyeluruh kenapa perkara ini berlaku sewaktu kempen,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Batu Papan di Kuala Bera, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan isu perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya yang tergendala sejak 7 November lalu susulan mengalami masalah sistem pemanduan automatik.
Ismail Sabri menegaskan mahu perkara sama tidak berulang lagi di masa hadapan kerana ia menjejaskan pengguna.
“Kita tidak mahu berlaku lagi sebab dalam masa beberapa bulan sahaja perkara ini berlaku lagi. Jadi saya tidak mahu beberapa bulan akan datang berlaku lagi, kerana ianya sangat menyusahkan orang ramai,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan laporan yang diterima pihak Rapid KL dengan bantuan pengeluar sistem itu sendiri dari Kanada dan Singapura sedang menyelesaikan isu berkenaan dan bekerja tanpa henti untuk memulihkan sistem LRT laluan Kelana Jaya itu.
“Setakat ini semua sistem keselamatan adalah stabil mengikut data ujian yang diperoleh menggunakan 38 set tren di laluan Putra Heights ke Gombak sepanjang hari
“Sistem isyarat dan komunikasi sedang diuji dan diuji lagi malam ini serta dijangka LRT Laluan Kelana Jaya bersedia untuk beroperasi dengan selamat lebih awal daripada 15 November seperti yang dijangkakan,” katanya. – Malaysiapost

