PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dituntut memohon maaf kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan dakwaan menerima wang tunai RM300 untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Penyandang kerusi Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dianggap satu bentuk penghinaan.
Beliau berkata, dakwaan itu juga menunjukkan parti gabungan berkenaan tidak pernah menghormati penjawat awam termasuk pegawai kerajaan, polis dan tentera.
“Ia satu ucapan yang tidak bertanggungjawab dan beliau cuba meremehkan kematangan anggota tentera kita.
“Ini satu penghinaan seolah-olah anggota tentera ini mudah disogok dengan budaya rasuah.
“Beliau perlu memohon maaf kepada warga tentera kerana mereka inilah yang banyak berkorban untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan e-sukan Piala Datuk Seri Azmin Ali (DSAA), di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), hari ini.
Sebelum ini, Anwar yang juga calon PH Parlimen Tambun mendakwa terdapat anggota tentera khususnya dalam Parlimen Bera sudah mengundi awal pada PRU15 serta dibayar sebanyak RM300.
Penyandang kerusi Parlimen Port Dickson itu dilaporkan berkata beliau mempunyai bukti yang kukuh dan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara berkenaan. – Malaysiapost

