Calonkan Ismail Sabri jadi PM hanya lakonan Zahid – Wan Saiful

0
2

TINDAKAN Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menamakan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri hanya lakonan untuk menipu rakyat Malaysia, kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Ketua Penerangan Bersatu itu berkata, ia terbukti dengan pendedahan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mendakwa Ahmad Zahid  membuat tawaran jawatan dalam Kabinet jika tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Anifah Aman mendedahkan bahawa Zahid Hamidi mencatur susunan jemaah menteri dalam kabinet. Nyata sekali bahawa Zahid mahu mengepalai kerajaan selepas PRU-15.

“Anggota kabinet pun Zahid yang hendak susun sedangkan itu hak Perdana Menteri. Saya yakin rakyat Malaysia sedar rancangan sulit Zahid ini.

“Saya harap semua pengundi akan tolak Zahid, dan beri peluang kepada Tan Sri Muhyiddin untuk memimpin negara melalui Perikatan Nasional,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, Anifah dilaporkan mendedahkan menolak tawaran jawatan menteri daripada Barisan Nasional (BN) sebagai balasan untuk beliau tidak bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Bekas ahli Parlimen Kimanis empat penggal itu mendakwa Ahmad Zahid yang membuat tawaran itu meminta beliau memulangkan semula kerusi itu dan menyokong calon mereka.

“Saya diminta di kawasan saya Kimanis bahawa Presiden Umno menjanjikan saya supaya jangan tanding dan bantu calon BN dan dia akan bagi saya jawatan Menteri Luar dan lantik Senator.

“Itu (tawaran jawatan) bukan saya kehendaki. Apa yang saya kehendaki ialah lunaskan apa-apa termaktub dalam Perlembagaan dan MA63. Itu perjuangan saya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here