Seramai 146,737 individu membabitkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasangan akan mengundi pada hari pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada Selasa ini.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata sebanyak 153 pusat mengundi awal ATM telah diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebagai pusat pengundian awal bagi anggota dan pasangan di seluruh negara.
Bagaimanapun, pengundian bagi anggota tentera yang didaftarkan sebagai Pengundi Pos telah bermula 7 November lalu sehingga jam 5 petang 19 November ini.
Katanya, menjadi harapan ATM agar proses pengundian berjalan lancar bagi membolehkan setiap anggota dapat menjalankan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia.
“ATM juga sentiasa menyokong proses dan Sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.
“Atas kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong juga, warga ATM sentiasa berpegang kepada norma-norma integriti di dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab demi kesejahteraan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Affendi berkata, ATM akan terus memfokuskan keutamaan dalam memperkasakan kesiapsiagaan angkatan demi melindungi kepentingan dan kedaulatan negara pada sebilang masa, lebih-lebih lagi ketika Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh.
Beliau berkata, ATM telah bersiap siaga dan bersedia untuk mengaturgerak aset sekiranya berlakunya banjir terutama di negeri-negeri yang berisiko terjejas dengan bencana tersebut.
Menyentuh mengenai PRU-15, Affendi berkata, ATM juga bersedia menghulurkan bantuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa awam dalam memastikan proses pengundian di seluruh negara lancar.
“Pada masa sama ia bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara sepanjang proses pengundian serta apabila keputusan pilihan raya diumumkan kelak,” katanya. – Malaysiapost

