Orang muda sukar bersukan di Shah Alam – Isham Jalil

0
2

Najamuddin Mohd Nor

KEMUDAHAN melakukan aktiviti sukan perlu diperbanyak dan dipermudahkan di Shah Alam, terutamanya untuk kegunaan golongan muda, kata Isham Jalil.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam itu bertekad memperjuangkan kemudahan berkenaan sekiranya diberi mandat oleh pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

Katanya,  Kemudahan orang muda melakukan aktiviti sukan dan riadah kian terhakis di Shah Alam kerana kebanyakan prasarana sukan kini milik swasta atau telah pun diswastakan.

“Di sini banyak belia, lebih 65,000 pengundi orang muda. Saya pergi Padang Jawa itu hari, namanya Padang Jawa tapi padang pun tak ada. Nak minta padang susah.

“Dekat Shah Alam ni banyak taman tasik, ada dewan badminton yang kebanyakan dewan telah pun diswastakan. Nak bayar baru dapat gunakan. Macam mana orang muda nak bersukan, nak main bola..payah. Jadi ini kita kena perjuangkan.

“Jadi benda-benda ini saya ingat, kalau orang muda nak bersukan kena permudahkanlah,” katanya ketika ditemui ketika sedang berkempen di Shah Alam, semalam.

Pada masa sama, Isham mempertikaikan langkah kerajaan negeri yang merobohkan Stadium Shah Alam dengan membina stadium baru yang lebih kecil.

“Hal Stadium Shah Alam satu lagi, nak robohkan buat apa. Saya dengar cerita stadium itu nak buat stadium kecil. Lepas tu kelilingnya pulak dikelilingi rumah-rumah pangsapuri mewah dan sebagainya.

“Macam mana? Kalau macam itu kita nak guna, nak sewa dah berapa pula kena bayar. Jadi susah untuk orang muda bersukan dan riadah sebagainya.

“Jadi kita kena perjuangkan, saya nak nasihatkan kepada kerajaan negeri ni, jangan perjuangkan ‘developer ‘ sahaja, tengok-tengok juga lah hal-hal rakyat di bawah ni.

“Untuk kemudahan sukan, kita kena beri perhatian. Janganlah nak sewa padang bayar ribu-ribu,” katanya.

Pada PRU-15 ini, Isham akan berdepan saingan empat penjuru menentang calon Pakatan Harapan (PH) Azli Yusof; calon Gerakan Tanah Air (GTA) Mohd Rafique Rashid Ali; dan calon Perikatan Nasional (PN) Dr Afif Bahardin.

Kerusi Parlimen Shah Alam disandang Pengarah Komunikasi Parti Amanah Khalid Abdul Samad pada PRU-12 dan PRU-13 atas tiket PAS, sebelum memenanginya sekali lagi atas tiket Amanah pada PRU-14. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here