PRU15: Zahid jamin tiada politik balas dendam jika BN menang

0
2

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan tiada politik balas dendam selepas BN memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan membentuk kerajaan. 

Beliau yang juga Presiden Umno, juga menyatakan keyakinan gabungan tersebut beroleh kemenangan pada 19 November ini.

“Insya-Allah BN akan membentuk kerajaan di Putrajaya. Yakinlah yang kita tidak akan membalas dendam kepada sesiapapun setelah kita membentuk kerajaan. 

“Cuma rakyat  perlu menilai siapa yang lebih baik antara saya, kita dan mereka,” katanya di Bagan Datuk, hari ini.

Ahmad Zahid juga berulang kali menyifatkan pendakwaan terhadap pemimpin Umno di mahkamah sebagai politik balas dendam. 

Sebelum ini, beliau memberi jaminan sama bahawa tiada elemen balas dendam dalam pemilihan calon BN, dengan menegaskan bahawa ia dibuat berdasarkan kriteria calon.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin Umno yang dilihat tidak sehaluan dengan Presiden Umno itu tidak dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi mereka seperti Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman (Pasir Salak) dan Tan Sri Annuar Musa (Ketereh).

Sementara itu, beliau mengakui ada kesalahan dan kesilapan selama 62 tahun BN membentuk kerajaan.

“InsyaAllah kita perbaiki kelemahan, kesilapan dan kita akan tambah baik imej negara kita, pertubuhan ekonomi kita dan kestabilan politik negara kita demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, disebabkan itu BN menawarkan Perancangan Amal dan Usaha BN untuk Malaysia (PADU) yang menggariskan 99 usaha untuk rakyat.

“Kenapa 99? Sempena dengan Asma Ul-husna. Mudah-mudahan Allah memberi barakah kepada kita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here