Ahli Parlimen tak perlu isytihar harta – PM

0
2
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=497567738384554&set=pb.100043939969797.-2207520000..&type=3

HANYA Menteri dan Timbalan Menteri sahaja yang wajib mengisytiharkan harta, manakala calon atau Ahli Parlimen tidak perlu berbuat demikian, jelas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, setakat ini tiada syarat mewajibkan mana-mana calon pilihan raya perlu mengisytiharkan harta sebaliknya ia dibuat atas kerelaan sendiri.

“Tidak perlu (isytihar harta) kerana kita hanya buat perkara yang termaktub dalam akta.

“Apabila dah menang nanti Ahli Parlimen pun diminta untuk isytihar harta dulu, tetapi tidak semua mengisytiharkan harta kerana tiada keperluan.

“Sebab mereka boleh berniaga tetapi Menteri, Timbalan Menteri mereka wajib mengisytiharkan harta dan memang kita mengisytiharkan harta,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Bera, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, mana-mana calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang secara sukarela ingin mengisytiharkan harta, seperti dilakukan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, boleh melakukannya.

“Sesiapa yang nak sukarela isytihar harta seperti Rafizi.. isytiharlah. Sekarang dia dah kena siasat, terserahlah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya rasa bukan setakat SPRM, 

Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) pun nak masuk (siasat) selepas ini,” katanya.

Beliau berpendapat, perkara yang perlu dan dikehendaki mengikut akta mesti dipatuhi, manakala perkara yang tidak termaktub mana-mana akta adalah tiada keperluan untuk dilaksanakan.

“Kalau setakat nak jadikan itu (isytihar harta) sebagai isu pilihan raya yang bertujuan memerangkap supaya semua isytihar..kalau tak isytihar akan kata mesti ada yang nak disorokkan.

“Itu tujuan dia, tetapi sebenarnya pengisytiharan yang dibuatnya (Rafizi) membuatkan orang hairan bagaimana syarikat dia yang rugi sepanjang masa..untung sekali, rugi berkali-kali. Untung RM1 juta, rugi RM5 juta tetapi boleh jual saham sampai berbelas juta. Jadi dia kena jawablah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here