CALON Barisan Nasional (BN) Parlimen Pendang, Datuk Suraya Yaacob berhasrat untuk mewujudkan Taman Industri Pendang dan projek perumahan mampu milik di kawasan itu jika menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Suraya berkata, beliau sudah mengenal pasti beberapa kawasan yang sesuai dalam kawasan Parlimen berkenaan dan yakin usaha itu boleh dilakukan sekiranya diberi peluang untuk menang di kerusi berkenaan.
Katanya, projek berkenaan adalah dua perkara yang amat diperlukan dan ia bukan semata-mata janji PRU kerana beliau sudah menjayakan banyak perkara semasa berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Sungai Tiang sebelum ini.
“Saya sudah melakukan banyak (pembangunan) di kawasan ini sekarang kita sudah bawa masuk projek Jeniang Transfer dan Hospital Pendang yang sudah diluluskan.
“Jika saya Ahli Parlimen saya akan usahakan dua projek ini untuk manfaat kepada penduduk Pendang.
“Tumpuan utama saya adalah untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan juga memajukan industri kecil sederhana (IKS) dikawasan ini,” katanya.
Parlimen Pendang bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru pada PRU15, membabitkan Suraya (BN), Datuk Awang Hashim (PN), Zulkifly Mohamad (PH) dan dan Abdul Rashid Yob (Pejuang). – Malaysiapost

