Jangan buat dakwaan tanpa fakta – Ismail Sabri

0
3

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa pemimpin pembangkang supaya tidak hanya bermain politik dengan membuat tuduhan tanpa fakta sahih termasuk mengenai proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau menegaskan segala urusan pilihan raya adalah tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan berdasarkan akta-akta yang ada.

“Soal proses pengundian adalah hak SPR. Macam semalam Datuk Seri Anwar Ibrahim (Pengerusi Pakatan Harapan) kata macam mana ada pengundi yang mengundi awal..memang tarikh undi awal telah pun diumumkan oleh SPR.

“Jadi saya harap…kita ni bercakap tidak ada fakta (nak) politik sahaja semua perkara, ini yang berlaku macam ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Anak Muda Gegor Bera, di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab isu-isu yang dibangkitkan mengenai PRU-15 ketika ini termasuk membabitkan proses undi awal.

Ismail Sabri juga menegaskan tiada sebarang perkara luar biasa yang berlaku dalam proses PRU kali ini.

“Bukannya tiba-tiba ‘terkejut’, pengundi Bera (mengundi) lebih awal daripada pengundi di seluruh negara…tak, ia sudah pun diumumkan tarikh undi pos, jadi pengundi awal sudah ditetapkan tarikh.

“Semuanya sudah ditetapkan oleh SPR berdasarkan akta,” katanya.

Beliau turut memaklumkan tidak mempunyai maklumat berhubung dakwaan pengundi di luar negara yang masih tidak mendapat kertas undi pos dan meminta perkara itu dirujuk kepada SPR.

Mengulas mengenai kenyataan Anwar yang mengatakan beliau perlu meminta maaf kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terpalit pelbagai isu termasuk perolehan aset seperti Kapal Tempur Pesisir (LCS), Ismail Sabri berkata isu-isu berkenaan sudah pun dijelaskan banyak kali.

“LCS tindakan sudah pun diambil. Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah membuat kenyataan beberapa kali sama ada dia (Anwar) tak baca atau tidak ambil tahu apa yang berlaku

“Hishammuddin telah membuat penjelasan..Saya difahamkan syarikat terlibat dari Perancis telah pun bersetuju meneruskan projek itu bersama Boustead. Saya difahamkan melalui media.

“Dari segi mereka yang dituduh terlibat penyelewengan dan sebagainya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah pun menyiasat. Ada yang telah dibawa ke mahkamah jadi perkara itu masih berjalan. Jadi tak betul jika dia kata kita tak ambil tindakan,” katanya.

Terdahulu Ismail Sabri dalam kenyataannya semalam berhubung dakwaan Anwar mengenai anggota ATM menerima bayaran RM300 setiap seorang untuk mengundi awal meminta Pengerusi PH itu meminta maaf kepada tentera.

Anwar pula dalam maklumbalas perkara itu menempelak Ismail Sabri kerana menyuruhnya meminta maaf dan sebaliknya berkata perdana menteri yang sepatutnya meminta maaf kepada tentera.

“Saya kata ada tentera diberi RM300 dan SPR kena pastikan perkara itu tidak boleh berlaku, saya ada bukti.

“Dia (Ismail Sabri) jawab Anwar kena minta maaf dengan tentera, ini Mail (Ismail Sabri) yang kena minta maaf dengan tentera itu kamu, kerana kapal tak siap, kapal terbang helikopter tak sampai, wang untuk tentera itu disonglap dan disakau, kamu (Ismail Sabri) yang mesti minta maaf,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada program ‘Jelajah Presiden’ di Kuantan, Pahang, semalam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here