PARTI Bangsa Malaysia (PBM) memberi jaminan akan memastikan kehidupan peneroka FELDA dinaik taraf jika mengundi parti itu di kerusi Parlimen Hulu Selangor, 19 November ini.
Calon PBM Parlimen Hulu Selangor, Haniza Mohamed Talha berkata, beliau telah meneliti tiga isu utama yang dihadapi peneroka FELDA antaranya pembukaan akaun untuk peneroka yang mengusahakan ladang sawit mereka sendiri.
Katanya, dua lagi isu ialah permohonan meningkatkan had berat jualan sawit bulanan kepada kilang dari 15 tan bagi setiap akaun peneroka dan membenarkan koperasi ditubuhkan oleh peneroka untuk membeli buah sawit daripada peneroka.
“(Presiden PBM) Datuk Zuraida Kamaruddin telah pun mengadakan pertemuan dengan pimpinan tertinggi Felda bagi mencari penyelesaian.
“Alhamdulillah, saya mendapat maklumat bahawa had berat jualan sawit bulanan yang dibenarkan telah dinaikkan kepada 20 tan, dan kini ia dalam proses untuk dilaksanakan. Dua lagi isu tersebut masih dalam proses kelulusan,” katanya dalam kenyataan.

Haniza berkata, beliau yakin kedua-dua lagi isu berkenaan akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat sekali gus memberi kelegaan kepada warga FELDA.
“Berita ini telah disambut baik oleh peneroka Felda semasa perjumpaan saya dengan mereka tempoh hari.
“Di Hulu Selangor, terdapat ramai peneroka FELDA yang dijangka akan mendapat manfaat dari keputusan ini. Langkah ini juga dijangka akan dapat menaikkan taraf hidup peneroka FELDA,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak peneroka-peneroka FELDA agar mengundi beliau pada PRU15 kali ini.
“Saya berjanji akan terus memperjuangkan nasib peneroka Felda di kawasan ini, jika saya menang kelak.
“InsyaAllah, saya akan berusaha bersama-sama mengangkat suara peneroka-peneroka dan mencari penyelesaian dalam isu-isu lain yang timbul,” katanya. – Malaysiapost

