Tengku Adnan Tengku Mansor
Salah satu komponen penting yang mendasari kemajuan dan pembangunan Putrajaya sudah semestinya pelan jangka masa panjang yang dilihat penting untuk memberikan keselesaan dan memenuhi kehendak penduduk Putrajaya. Justeru, ‘Tekad Ku Nan untuk Putrajaya’ ditawarkan kepada penduduk Putrajaya demi memacu masa depan Putrajaya yang lebih cerah.
Terdapat 6 teras utama di dalam Tekad Ku Nan. Pertamanya ialah ‘Putrajaya Sihat’. Di dalam Tekad ini, pembaikan terhadap gelanggang sedia ada seperti futsal, badminton dan bola jaring akan dilaksanakan. Penaikan taraf terhadap Gelanggang Futsal Mokhtar Dahari akan turut dijalankan. Dan demi untuk memenuhi kehendak penduduk Putrajaya yang semakin bergiat aktif dalam aktiviti sukan, pembinaan gelanggang futsal, badminton dan bola jaring baharu juga akan dilaksanakan.
Teras yang kedua ialah Putrajaya Selamat. Demi memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk Putrajaya terus terbela, ada beberapa langkah yang akan diambil antaranya ialah menggantikan semua lif dan tangki air yang sudah berusia 15 tahun, membina ‘Ku Nan Rider Stop Centre’ supaya para penunggang motosikal boleh mendapatkan tempat berehat yang selesa serta yang terakhir, menyediakan fasiliti mesra OKU di RUMAWIP baharu.
Teras yang ketiga ialah e-Putrajaya. Memandangkan sukan atas talian atau “e-sports” semakin pendapat perhatian ramai terutamanya golongan muda, maka Tekad Ku Nan akan menganjurkan ‘Ku Nan e-sports League’ bagi golongan muda menonjolkan bakat masing masing seterusnya merintis penyertaan mereka di dalam arena ini. e-Putrajaya juga menyasarkan untuk membangunakn Youth Centre sebagi pusat pembangunan belia dan e-sports.
Teras yang keempat ialah Putrajaya Bijak. Bagi meraikan dan memastikan kelompok yang berkebolehan dalam bidang pendidikan terus diangkat, Tekad Ku Nan akan menawarkan biasiswa penuh kepada seorang pelajar terbaik SPM setiap tahun di seluruh Putrajaya. Selain itu, Program Kad Pendidikan Ku Nan akan disediakan bagi pendidikan percuma di tadika dan program Jom ke Universiti bersama Ku Nan akan turut dianjurkan.
Teras kelima ialah Putrajaya Prihatin. Teras ini menitikberatkan keperluan rakyat yang wajar diberi perhatian dan keutamaan. Antaranya ialah kemudahan kesihatan percuma di Klinik Ku Nan, kelas tuisyen percuma untuk pelajar SPM B40, kelas Iqra percuma untuk murid murid sekolah, mewujudkan semula kad Nadi Putrapay bagi pelajar sekolah dan Tekad Ku Nan turut akan memperjuangkan peningkatan gaji penjawat awam di peringkat persekutuan.
Teras terakhir di dalam Tekad Ku Nan ialah Putrajaya Rumahku. Menyedari kesan daripada perubahan iklim ekonomi semasa, Tekad Ku Nan akan membina kos rendah yang berharga RM 80 Ribu serta akan mengembalikan semula sistem sewa beli rumah. Bagi golongan muda yang ingin menjana pendapatan tambahan, Tekad Ku Nan akan menambah kiosk mampu sewa supaya urusan perniagaan dapat berjalan dengan lebih lancar.
Kesemua teras yang ditawarkan di dalam ‘Tekad Ku Nan untuk Putrajaya’ jelas menunjukkan bahawa Ku Nan mengambil kira keperluan semasa penduduk Putrajaya selari dengan perubahan masa. Tekad Ku Nan ini adalah satu pelan dan masa depan Putrajaya yang holistik yang akan memberikan kesan positif terhadap penduduk Putrajaya bukan sahaja dalam masa terdekat tetapi juga terhadap generasi yang akan datang!
Penulis ialah Penyandang Ahli Parlimen Putrajaya
(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

