DAKWAAN kebocoran data 800,000 pengundi yang dikatakan data dimiliki Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan disiasat, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata siasatan hanya akan dibuat jika ada laporan polis dibuat, selain turut menyatakan jika data tersebut mengandungi maklumat nombor telefon ia bukan daripada data SPR.
“Kalau ada nombor telefon bermakna bukan SPR yang punya. Kalau SPR hanya nama dan nombor kad pengenalan sahaja.
“Itu tak betul, itu mesti ada orang yang menipu semata-mata untuk mencari keuntungan. Apabila ada laporan polis kita akan buat siasatan.
“Setakat ini belum ada lagi yang mengaku menerima benda-benda seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ceramah Perikatan Nasional (PN) di Arau, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan kebocoran data yang pertama kali dilaporkan pada April lalu sekali lagi mendapat perhatian ketika kempen PRU ke-15 memasuki minggu kedua.
Data itu membabitkan maklumat pengundi merujuk kepada pangkalan data SPR yang dilaporkan mengandungi 800,000 gambar pengundi dan MyKad mereka.- Malaysiapost

