KEJAYAAN mengadakan pertemuan dengan 12 duta dari negara timur tengah antara yang dipaparkan dalam ‘report card’ Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas bertaraf menteri ke Timur Tengah.
‘Report card’ yang diberi nama Laporan Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah dikeluarkan dan dikongsi pautannya untuk bacaan orang ramai di Facebook miliknya hari ini.
“Bismillah. Dengan rasa rendah diri, saya kemukakan Kad Laporan Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah untuk rujukan semua.
“Besar harapannya, dengan segala usaha yang telah direkodkan dalam kad laporan ini, menjadi pemula kepada langkah selanjutnya bagi meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam menyatukan ummah.
“Seterusnya berjaya membawa hasil pulangan yang sangat baik kepada rakyat dan negara Malaysia dalam bentuk pendidikan, teknologi, pelaburan, perdagangan, dan sebagainya,” katanya menerusi Facebook.
Dalam hantaran sama, Abdul Hadi menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pejabat Perdana Menteri, Wisma Putra dan Pejabat Kedutaan Negara Timur Tengah di Malaysia.
“Selain penghargaan kepada Pejabat Kedutaan Malaysia di Timur Tengah, serta seluruh agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan atas kerjasama dan komitmen dalam memudahkan urusan dan pekerjaan Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.
“Mudah-mudahan, segala amal dan usaha kita dinilai sebagai kebaikan di sisi-Nya, amin,” tulisnya.
Menerusi hantaran sama, Abdul hadi menyertakan pautan Kad Laporan Utusan Khas Ke Timur Tengah berkenaan:
https://ezy.la/laporanutusankhas
Selain itu, turut dipaparkan kejayaan Presiden PAS tersebut mengemukakan cadangan membuka pintu kerjasama perdagangan baharu dengan Qatar.
Turut dipaparkan, siri kejayaan mengemukakan cadangan kepada kerajaan berkenaan langkah-langkah bagi meningkatkan kerjasama dengan negara-negara Timur Tengah.
Dalam laporan khas itu turut dinyatkan peranan Abdul Hadi menggerakkan misi khas dunia Islam seperti misi membangunkan semula Afganistan, bantuan kemanusian di Lubnan dan perjuangan rakyat Palestin. -Malaysiapost

