Ben Ibrahim
TIGA maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dalam kejadian di Kilometer 168.5 Lebuh raya Pantai Timur, dekat Maran, pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata pusat gerakan operasi (PGO) menerima laporan kemalangan membabitkan kereta jenis Perodua Kancil itu jam 8.10 pagi.
“Dua jentera bersama lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran dihantar ke lokasi kejadian bagi kerja menyelamat mangsa.
“Terdapat empat mangsa dalam kereta itu dan tiga daripadanya disahkan meninggal dunia.
“Seorang lagi mangsa adalah kanak-kanak perempuan turut mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zulfadli berkata, mangsa yang maut adalah dua wanita dan seorang lelaki.
Katanya, pihak bomba menggunakan peralatan menyelamat khas bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan itu.
Siasatan lanjut kes kemalangan itu dilakukan pihak polis. – Malaysiapost

