SPR buka permohonan untuk pemerhati PRU15

0
1

ORANG ramai yang ingin menjadi pemerhati pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) boleh menghantar permohonan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mulai hari ini sehingga 21 Oktober ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata bagaimanapun permohonan sebagai pemerhati yang mewakili organisasi adalah tertakluk kepada syarat ditetapkan.

“Pemerhati dibenarkan untuk membuat pemerhatian bagi proses pilihan raya seperti proses penamaan calon, berkempen, mengundi awal, proses mengundi dan pengiraan undi, penjumlahan undi sehinggalah pengisytiharan keputusan pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata, mereka yang berminat menjadi pemerhati ketika PRU15 boleh memuat turun borang permohonan di Portal SPR di https://www.spr.gov.my.

Beliau bagaimanapun mengingatkan kepada mereka yang berminat untuk menyertai program itu supaya mengemukakan permohonan sebelum tarikh tutup.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen Ke-14, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here