LAGU berjudul Marilah Mengundi akan kembali tular persis lagu ‘Hari Raya’ tatkala kerajaan mengumumkan pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat.
Sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuasakuasa semalam, lagu Marilah Mengundi kembali tular dimainkan di kebanyakan platform media sosial.
Biarpun banyak lagu-lagu moden yang berkaitan dengan pilihan raya, namun tidak dapat menandingi populariti Marilah Mengundi nyanyian Mohd Hashim Shariff atau lebih dikenali sebagai Rocky Din.
Menyelak kembali asal usul lagu berkenaan, ianya mula menjadi siualan ramai ketika Pilihan Raya Umum ke-5 (PRU5) diadakan pada tanggal 8 Julai 1978.
Lagu yang telah berusia 44 tahun itu merupakan ciptaan Johari Salleh dan rakaman dilakukan di Belanda.
Memetik laporan portal Kita Reporters, menurut Rocky Din dalam satu temu bual sebelum ini, rakaman lagu berkenaan dibuat pada Oktober 1977.
Kini penyanyi Rocky Din berusia 73 tahun dan semakin uzur selain menghidap penyakit strok sejak dua tahun lepas.
Beliau yang menetap di Butterworth, Pulau Pinang kini terpaksa menggunakan kerusi roda. – Malaysiapost

