YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengingatkan rakyat agar melakukan persediaan bagi menghadapi fenomena perubahan cuaca seperti diramalkan melanda negara pertengahan November ini.
Baginda turut bertitah meminta semua agensi-agensi yang berkaitan untuk membuat persediaan rapi secara menyeluruh demi kemaslahatan ummah susulan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) itu.
“Kita sedia maklum bahawa saban tahun tatkala kehadiran November, Malaysia akan berdepan risiko berlakunya banjir.
“Baru-baru ini, METMalaysia telah meramalkan negara akan berdepan hujan lebat berterusan dan risiko banjir berskala besar mulai penghujung November depan.
“Pada kesempatan ini beta ingin mengingatkan seluruh rakyat beta, untuk memperkemaskan diri dan melakukan persediaan bagi menghadapi fenomena perubahan cuaca yang bakal berlaku kelak,” titahnya di majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah, persediaan agensi-agensi berkaitan itu bukan hanya dalam aspek mengurangkan kesan banjir, tetapi juga merangka satu kaedah supaya bantuan kepada mangsa banjir dapat diberikan secara terancang, segera dan efektif. – Malaysiapost

