YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar umat Islam di negara ini jangan terlalu jauh menyimpang dari landasan yang telah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Seri Paduka Baginda bertitah, Rasulullah SAW telah memberi contoh dan model yang cukup sempurna untuk umat Islam teladani bersama-sama.
“Baginda telah menerangi kita dengan jalan yang benar lagi adil.
“Marilah kita bangkit bersama dan memberi keutamaan kepada kemaslahatan ummah dengan menjunjung petunjuk dan tauladan yang telah di wasiatkan oleh seorang insan yang paling sempurna dan mulia,” titah Seri Paduka Baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah sedemikian ketika majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H/2022M, yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Mengambil tema sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini iaitu “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran”, Seri Paduka Baginda menyeru umat Islam menyatukan ikatan hati dan menumpukan usaha ke arah memelihara kemaslahatan ummah.
“Mengakhiri titah; marilah kita berdoa agar dicucuri rahmat dan limpahan kasih sayang kepada junjungan besar Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga, dan para sahabat Baginda.
“Semoga Allah Subhanahu Wata’ala melindungi negara yang kita cintai ini; dan rakyatnya dari sebarang musibah dan bahaya yang melanda,” titah Baginda. – Malaysiapost

