DATUK Dr Rais Hussin Mohamed Ariff yang mengumumkan keluar Bersatu hari ini, bukan pengasas parti tersebut seperti dilaporkan.
Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya berkata Dr Rais dilantik menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dari tahun 2016 hingga 2020.
Katanya, beliau tidak mempertahan jawatan Ahli MPT dalam pemilihan parti pada tahun 2020 dan tidak lagi aktif bersama Bersatu selepas itu.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih atas segala jasa dan khidmat bakti yang telah disumbangkan beliau,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu Dr Rais yang juga bekas Pengerusi Biro Strategi dan Dasar Bersatu memaklumkan sudah menghantar surat rasmi peletakan jawatannya kepada pimpinan parti, semalam.
Dr Rais berkata, beliau tidak lagi aktif dalam parti itu sejak 2020 selepas menjalani prosedur jantung dan banyak menumpukan kepada pembangunan EMIR Research sebagai badan pemikir bebas yang menumpukan kepada cadangan dasar strategik. – Malaysiapost
Kredit Foto: malaysiadateline.com

