BAJET 2023 menjadi manifestasi usaha kerajaan untuk kebangkitan negara, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata ia akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang unggul setelah mengharungi pelbagai krisis dan cabaran sebelum ini.
“Semoga usaha yang berterusan akan menjadikan negara kita lebih sejahtera, aman, makmur dan Keluarga Malaysia mendapat penghidupan yang lebih berkualiti untuk hari-hari yang mendatang,” katanya.
Perdana Menteri turut mengucapkan rasa syukur kerana pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini berjalan lancar.
“Alhamdullilah, saya gembira dengan pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
“Bajet 2023 berjumlah RM372.3 bilion ini menyaksikan peningkatan yang ketara berbanding Bajet tahun lalu.
“Bajet 2023 juga memperlihatkan komitmen kerajaan menawarkan manfaat kepada Keluarga Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

