KERAJAAN menerusi Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) membangunkan satu sistem yang mampu meramal banjir tujuh hari lebih awal bagi menghadapi musim tengkujuh ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata sistem itu dikenali sebagai Sistem Pengurusan Bencana Bersepadu (IDMS) dan Sistem Maklumat dan Logistik Banjir Monsun Berteraskan Imej Satelit (eBanjir), dengan menggunakan teknologi angkasa iaitu Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Sistem Penentududukan Global (GPS).
Beliau berkata, dengan menggunakan teknologi angkasa khususnya satelit penderiaan jauh, ia berupaya mencerap dan menghasilkan imej serta maklumat muka bumi terkini, yang amat berguna dalam membantu pengurusan bencana lebih cepat, cekap dan berkesan.
“MOSTI juga menjalankan kerjasama dengan rakan teknologi iaitu MIMOS untuk membangunkan data analitik di pusat kawalan supaya ramalan tepat dapat diberikan seawal tujuh hari dan amaran seawal dua hari sebelum jangkaan.
“Ketika ini, Sistem Pengurusan Maklumat Ramalan dan Amaran Banjir Negara Fasa 1 meliputi tiga kawasan seperti Sungai Terengganu, Sungai Kelantan dan Sungai Pahang, yang menggunakan tujuh teknologi dibangunkan oleh MIMOS,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Minggu Angkasa Sedunia bertemakan Kelestarian Angkasa, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Adham berkata, MOSTI sudah bertemu dengan empat syarikat yang menunjukkan minat untuk terbabit dalam pembangunan tapak pelancaran roket di negara ini.
“Berdasarkan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834), satu Lembaga Angkasa Malaysia ditubuhkan bertujuan untuk mengawal selia aktiviti berkaitan angkasa bagi tujuan keselamatan, pendaftaran objek angkasa dan peruntukan bagi kesalahan berkaitan angkasa,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Dr Adham Baba

