Tiada masalah jika Umno mahu rampas DUN Panching – PAS Pahang

0
1

Ben Ibrahim

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Panching daripada PAS, Mohd Tarmizi Yahaya menganggap kenyataan Umno Pahang yang mahu merampas kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah perkara biasa dalam sistem demokrasi.

Katanya, sesiapa saja boleh bertanding kerana tiada peraturan menghalang mana-mana pihak meletakkan calon bagi merebut kerusi DUN atau Parlimen.

“Bagi saya tiada masalah sebabnya ini negara demokrasi, setiap orang boleh masuk (bertanding) dan bagi Umno, mungkin dia ingin rampas kembali kerusi DUN Panching.

“Begitu juga dengan PAS (Pahang), kita sendiri sudah usul (untuk) menambah kerusi antaranya kerusi DUN Sungai Lembing dan kita rasa dapat raih kemenangan pada PRU15 nanti,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Kerusi DUN Sungai Lembing disandang Adun Umno, Datuk Md Shohaimi Mohamed Shah sejak PRU11.

Mohd Tarmizi yang juga Ketua Penerangan PAS Pahang diminta mengulas ucapan Ketua Penerangan Umno Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dalam satu majlis anjuran Umno Bahagian Paya Besar, malam kelmarin.

Syed Ibrahim dilaporkan berkata, Umno Bahagian Paya Besar optimis dapat merampas kembali kerusi DUN Panching yang kini disandang PAS.

Katanya, jentera penerangan Umno negeri perlu proaktif dan efisien bagi mencapai sasaran itu.

Kerusi DUN Panching dimenangi Mohd Tarmizi Yahya selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Zaili Besar dengan perbezaan undi 135 pada pilihan raya umum lalu.

Mohd Tarmizi memperoleh 7,143 undi manakala Mohd Zaili mendapat 7,008 undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here