PM dijangka menghadap Agong Jumaat ini, tiada pembentangan Bajet 2023

0
1

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Jumaat ini bagi memohon pembubaran Parlimen.

Spekulasi ini timbul selepas pertemuan Perdana Menteri dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi bersama pemimpin Umno bahagian di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Malah pembentangan Belanjawan 2023 yang dijadualkan Jumaat ini juga bakal ditangguhkan.

Menurut salah seorang pemimpin Umno yang menghadiri pertemuan itu berkata, keputusan untuk memohon perkenan bagi pembubaran Parlimen Jumaat ini telah mendapat persetujuan “top five” Umno.

“Jika tiada halangan Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Jumaat ini bagi memohon perkenan untuk pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Pemimpin Umno di setiap peringkat hari ini gembira dengan penjelasan Perdana Menteri dan beliau mendapat tepukan gemuruh daripada mereka yang hadir.

“Pada taklimat itu juga Perdana Menteri menjelaskan bahawa tiada isu berbangkit lagi dan perlu henti serangan sesama sendiri,” katanya kepada Malaysiapost.

Terdahulu hari ini, Presiden Umno yakin Agong akan memberi perkenan untuk membubarkan Parlimen dalam masa terdekat, seterusnya memberi laluan kepada PRU-15.

Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya juga tidak menetapkan tarikh akhir untuk Perdana Menteri mengadap Agong bagi memohon perkenan.

“Itu bukan kuasa parti (menetapkan tarikh akhir kepada Perdana Menteri mengadap Agong). Kita hormati kuasa Perdana Menteri.

“Kuasa itu tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan dan kita yakin Agong akan perkenan mengikut perkiraan terbaik demi kepentingan Malaysia,” kata Ahmad Zahid.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here