Jika penjara benarkan, Najib boleh hadir sidang Parlimen – Speaker

0
1

DATUK Seri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara, masih dibenarkan hadir persidangan Parlimen.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata ia mestilah dengan kebenaran Jabatan Penjara.

“Persoalannya sekarang adakah dia (Najib) boleh hadir. Itu bukan bidang kuasa saya, kerana dia bukan dalam jagaan saya.

“Dia dalam tahanan Jabatan Penjara, jadi terpulang kepada mereka untuk melepaskannya daripada tahanan mereka,” katanya menjawab soalan Hanipa Maidin (PH -Sepang) di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Hanipa bertanya sama ada Ahli Parlimen Pekan itu yang telah disabitkan kesalahan boleh dibawa ke Dewan Rakyat dalam keadaan bergari untuk “dilihat oleh semua”.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitannya dalam kes penyelewengan dana SRC International.

Beliau ketika ini dibenarkan keluar dari penjara untuk menghadiri kes mahkamah jenayah lain dihadapinya, dan mendapatkan rawatan perubatan.

Sementara itu seorang lagi penyokong pembangkang, Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) selepas itu bertanya mengapa status Najib sebagai Ahli Parlimen tidak terbatal susulan telah disabitkan bersalah.

Azhar kemudian menjawab: “Hukum sebagaimana adanya, bukan sebagaimana semestinya, dan tidak pula sebagaimana ia sepatutnya”.

Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika disabitkan kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun, dan denda lebih RM2,000.

Bagaimanapun jika petisyen untuk pengampunan difailkan dalam tempoh 14 hari dari sabitan dan hukuman, atau selepas pelupusan mana-mana rayuan atau prosiding mahkamah berhubung sabitan dan hukuman, kehilangan kelayakan itu hanya berkuat kuasa apabila petisyen itu dilupuskan, di bawah Perkara 48(4)(c).

Najib telah memfailkan pengampunan diraja dalam tempoh 14 hari selepas sabitannya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here