SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak permohonan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho ataupun Jho Low supaya kerajaan Malaysia menarik balik notis Interpol serta bantuan dalam perkara jenayah bagi menangkapnya.
Menurut surat SPRM yang dihantar kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, permohonan itu dibuat Jho Low selepas penyelesaian dibuat antaranya dengan kerajaan Amerika Syarikat dan kerajaan Malaysia.
Surat yang dilihat Malaysiapost itu bertarikh 8 April 2022 ditandatangi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Permohonan Jho Low itu dikemukakan melalui firma guaman Asyraf, Vivek & Wee.
“Untuk makluman YBhg Tan Sri, suruhanjaya ini telah menerima surat daripada Tentuan Asyraf, Vivek & Wee yang mewakili Low Taek Jho. Di dalam surat tersebut, terdapat beberapa perkara yang dipohon kepada kerajaan Malaysia.
“Menarik balik notis-notis yang dikeluarkan kepadanya seperti notis interpol, menarik balik semua bantuan dalam perkara jenayah yang dipohon oleh kerajaan Malaysia untuk menahan, menangkap dan ekstradisi Jho Low dan passport miliknya dikembalikan,” kata surat berkenaan.
Pada 16 Julai lalu, bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali dilaporkan menjadi orang tengah bagi rundingan untuk menyelesaikan isu 1MDB dengan Jho Low.
Mohamed Apandi menjelaskan peranannya hanya sebagai fasililator dalam rundingan membabitkan ahli perniagaan dalam buruan itu.
Jho Low yang merupakan individu dikehendaki membabitkan skandal 1MDB ketika pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menawarkan RM1.5 bilion bagi menutup kes tersebut.
Setakat ini, keberadaan Jho Low masih tidak dapat dikenal pasti meskipun SPRM telah mengeluarkan waran tangkap.
Dalam pada itu, SPRM beranggapan adalah amat berisiko jika permohonan Jho Low itu diterima kerana dia diperlukan dalam penyiasatan Dan pendakwaan berprofil tinggi.- Malaysiapost




