Tuduh PAS parti rasis bukti kedangkalan DAP 

0
1

TUDUHAN Lim Guan Eng kononnya PAS ialah parti rasis dan Malaysia akan lenyap jika Perdana Menteri PAS berkuasa, cukup membuktikan betapa dangkalnya parti DAP. 

Ketua Penerangan PAS, Senator Ir Khairil Nizam Khiruddin berkata seluruh rakyat Malaysia tahu patung Buddha antara yang terpanjang di Asia wujud baik terpelihara di bawah kerajaan Kelantan diterajui PAS. 

Malah katanya, semasa PAS mula menguasai Terengganu pada 1999, cukai gerbang Kampung Cina turut dihapuskan PAS, sekali gus mengukuh hubungan baik masyarakat Melayu dan Cina di Terengganu dan Kelantan. 

“Sebaliknya, DAP jelas memiliki rekod buruk lagi hina dalam isu-isu membabitkan Islam dan masyarakat Melayu di Malaysia. 

“Antaranya perlembagaan DAP sendiri jelas menyebut dalam Perkara 2 matlamat DAP adalah untuk “mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja ‘sekular’ yang asal”. 

“Hal ini sahaja membuka pekung dada DAP yang cukup anti kepada Islam dan Melayu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya. 

Mengulas lanjut Khairil Nizam berkata, DAP tidak pernah menyembunyikan permusuhan mereka terhadap cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (RUU 355) dengan pelbagai alasan. 

Katanya lagi, sedangkan ia sekadar mahu meningkatkan kadar hukuman yang boleh dikenakan ke atas penganut Islam atas kesalahan syariah sahaja. 

“Sejarah membuktikan ketika berkuasa melalui rejim PH, DAP kuat menyokong supaya konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diratifikasi, langkah yang jelas bakal mengganggu-gugat keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum sejak merdeka hingga ke hari ini. 

“Lim Kit Siang menuduh khutbah Jumaat disediakan JAKIM sebagai menyebarkan kebencian dan mencabar usaha ke arah keharmonian. 

“Pengerusi Wanita DAP, Chong Eng pula mengkritik khutbah Jumaat berkait kewajipan wanita Muslim menutup aurat. Timbalan Setiausaha Agung DAP, Dr P Ramasamy pula pernah menggelar pendakwah Islam, Dr Zakir Naik sebagai syaitan,” katanya. 

Katanya lagi, DAP terkenal dengan rekod membentak dan ingkar kepada raja-raja Melayu, antaranya isu pelantikan Menteri Besar Perak apabila Kit Siang menyeru Adun DAP memboikot upacara mengangkat sumpah kerana tidak setuju perkenan Almarhum Sultan Azlan Shah melantik Adun PAS sebagai Menteri Besar pada 2008. 

“Contoh-contoh ini hanyalah sebahagian daripada banyaknya lagi sikap rasisnya DAP. Sehubungan itu, seluruh rakyat pelbagai kaum wajib menolak parti yang sebegini rasis dan sering memecahbelahkan Keluarga Malaysia. 

“Parti ini perlu ditolak sepenuhnya dari bumi Malaysia dalam PRU15 akan datang demi negara Malaysia yang aman, makmur, dan sejahtera,” katanya. 

Baru-baru ini, Guan Eng yang juga Pengerusi DAP mendakwa pemimpin PAS membawa naratif perkauman dan ekstremis yang menjejaskan pendirian berbilang agama dan budaya Malaysia dengan mendahulukan umat Islam. 

Guan Eng turut berkata Perdana Menteri dari PAS akan memecahkan Malaysia dan menimbulkan senario mimpi ngeri bagi bukan Islam dan bukan Bumiputera, kerana bukan berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia tetapi hanya untuk orang Islam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here