PM umum gred lebih baik untuk guru besar, penolong kanan 

0
1

KERAJAAN hari ini mengumumkan guru besar Gred DG48 (Khas Untuk Penyandang) tidak diturunkan sebagai guru penolong kanan atau guru biasa di sekolah rendah apabila dinaikkan pangkat ke Gred DG52 dan DG54 secara time based Berasaskan Kecemerlangan (TTBK). 

Perdana Menteri berkata, gred guru besar dan guru penolong kanan di sekolah rendah ditingkatkan sehingga ke gred maksimum DG54. 

Pelaksanaan ini kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan menaik taraf gred hakiki bagi jawatan guru besar dan guru penolong kanan. 

Ia juga katanya, membolehkan mereka yang telah dinaikkan pangkat ke gred lebih tinggi, kekal di jawatan tersebut sehingga Gred DG54. 

“KPM juga sedang mengkaji struktur perjawatan guru besar dan guru penolong kanan sekolah rendah melalui cadangan Model Sekolah dengan penetapan gred fleksi sehingga DG54. 

“Ia bagi memastikan kedudukan pentadbir sekolah sentiasa terpelihara, di samping mengekalkan keharmonian dalam kalangan warga sekolah,” katanya. 

Beliau berkata demikian sempena Perhimpunan Khas Bersama Warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) di ibu negara hari ini. 

Perdana Menteri turut mengumumkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG48, diberi peluang untuk dilantik guru penolong di sekolah rendah.  

Justeru, jelasnya guru penolong kanan di sekolah rendah, tidak hanya terhad kepada Gred DG44. 

“Selaras dengan keputusan pertama, guru penolong kanan yang telah dinaikkan pangkat gred lebih tinggi, kekal di jawatan tersebut sehingga Gred DG54,” katanya. 

Sementara itu Ismail Sabri mengumumkan laluan kerjaya Guru Cemerlang di sekolah rendah 

diperluas sehingga ke Gred DG52 dan DG54.  

Ini kerana katanya, sebanyak 90.68 peratus guru sekolah rendah telah pun berada di Gred Siswazah. 

“Peningkatan gred jawatan guru besar dan guru penolong kanan ini akan memberi faedah secara langsung kepada 2,047 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di seluruh negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here