SELEPAS 16 hari diculik dan dilarikan sekumpulan lelaki ke Thailand, ejen jualan produk kosmetik wanita Rosnazirah Mohd Naim akhirnya berjaya diselamatkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata melalui kerjasama erat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand serta perkongsian maklumat dan perisikan berjaya mengenalpasti lokasi keberadaan di Thailand.
Katanya, lokasi kedudukan mangsa berusia 36 tahun itu berjaya dikesan hasil bantuan dan kerjasama erat antara pihak berkuasa Thailand dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Mangsa kemudiannya berjaya ditemui dan diselamatkan sebelum dibawa pulang ke tanah air hari ini.
“Dalam kes ini juga seramai tujuh lelaki tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 13 September lalu, Rosnazirah dilarikan tiga lelaki dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios, dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat. -Malaysiapost

