Rara akur jika diarah DAP bertanding Parlimen Bentong

0
2
young syefura

Nurul Huda Abhar

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman bersedia untuk bertanding di kerusi Parlimen Bentong jika diarahkan DAP untuk berbuat demikian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Young Syefura, ia adalah satu pengiktirafan dan kepercayaan besar parti sekiranya beliau diberi peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen berkenaan.

Bagaimanapun, Young Syefura atau dikenali sebagai Rara menegaskan beliau masih belum menerima sebarang arahan daripada parti berhubung perkara tersebut.

“Buat masa ini saya masih belum terima apa-apa arahan dari parti. Selagi belum ada keputusan yang sah daripada parti, saya tak boleh nak komen lanjut. Sebarang kemungkinan boleh berlaku.

“Namun saya bersedia terima apa sahaja arahan dari parti dan saya juga selesa jika dikekalkan di Ketari.

“Jika diberi peluang untuk bertanding di peringkat Parlimen, ia adalah satu pengiktirafan dan kepercayaan tinggi dari parti untuk saya dan saya bersedia untuk galas tanggungjawab tersebut,” katanya kepada Malaysiapost.

Media sebelum ini melaporkan, nama Young Syefura ‘disebut-sebut’ sebagai calon pemimpin DAP yang bakal bertanding di kerusi Parlimen Bentong bagi PRU15.

Malah, kerusi Parlimen Bentong juga dikatakan bakal menyaksikan kemunculan semula bekas Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang pernah menang di Parlimen itu selama empat penggal bermula 1999, 2004, 2008 dan 2013.

Pada PRU14, Tiong Lai ditewaskan Wong Tuck dari DAP dengan majoriti 2,032 undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here