Najib terima RM2.08 bilion dalam akaun peribadi

0
2

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu sejumlah RM2.08 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak melibatkan sembilan transaksi pada 2013.

Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R Uma Devi, 43, berkata, transaksi itu melibatkan wang di antara RM138 juta dan RM602 juta, 22 Mac dan 10 April 2013, lapor Utusan Online.

Pegawai kanan bank itu mengesahkan kemasukan wang ke dalam akaun AmIslamic Bank Berhad melalui penyata bertarikh 14 April 2013 yang dirujuk kepadanya ketika membacakan pernyataan saksi.

Menurut Uma Devi, sejumlah RM2.03 bilion kemudian dikeluarkan daripada akaun bekas Perdana Menteri empat bulan kemudian iaitu di antara 2 Ogos dan 23 Ogos 2013.

Saksi menyatakan, lima transaksi itu melibatkan nilai di antara RM181,830,000 dan RM652,600,000.

Dalam kenyataan pembukaan, pihak pendakwaan menyatakan, penerimaan wang RM2.08 bilion itu berkaitan dengan sembilan pertuduhan bagi kesalahan pengubahan wang haram.

Kenyataan itu menyatakan, antara 2 Ogos dan 23 Ogos 2013, tertuduh memindahkan sejumlah RM2.03 bilion kepada Tanore Singapore.

Pada masa yang sama, tertuduh menggunakan baki RM22,649,000 untuk membayar empat entiti dan seorang individu yang mana pembayaran itu memberi manfaat kepada tertuduh.

Dalam keterangannya, Uma Devi berkata, penyata akaun peribadi Najib menunjukkan pengeluaran RM20 juta kepada Umno.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Beliau memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Najib, 69, atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon  di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here