KETIKA kemodenan dan kepesatan teknologi yang membangun dalam negara, masih lagi ada amalan karut dan khurafat berlegar dalam amalan sesetengah masyarakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Puncak Taqwa Kinarut, Sabah, hari ini yang bertajuk “Aqidah perlu dipertahankan! Perkara khurafat perlu dijauhkan!”.
Menurutnya, tajuk khutbah yang disampaikan itu agak berat dan antara peringatan diberikan adalah sempena kehadiran bulan Safar yang mengingatkan kepada upacara ‘mandi Safar’ yang suatu ketika dulu menjadi amalan segelintir komuniti Islam di Sabah.
“Upacara mandi Safar ini lazimnya diadakan di pantai dan sungai dengan diisi ritual jampi mantera tolak bala kerana kononnya bulan Safar membawa bala bencana.
“Akibat terpengaruh dengan kepercayaan khurafat itu, ada ibu bapa yang enggan mengahwinkan anak mereka pada bulan Safar kerana khuatir akan berlakunya perkara yang tidak diingini,” katanya di Facebook.

Beliau berkongsi isi kandungan khutbah disampaikannya yang menurutnya tidak boleh diabaikan apatah lagi ianya melibatkan pegangan akidah yang ditegah oleh ajaran Islam.
Menurutnya, ada banyak lagi ajaran khurafat yang ditekankan dalam kandungan khutbahnya itu.
“Baginda SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Tidak ada penularan penyakit (dengan sendirinya), tidak ada thiyarah (sempena baik atau buruk), tidak ada kesialan (malang) kerana burung dan tidak ada kesialan (bala bencana) pada bulan Safar” (Hadis riwayat Bukhari r.a, Muslim, Abu Daud dan Ahmad r.a).
“Saya doakan seluruh masyarakat di Sabah dan di seluruh negara dijauhkan daripada mudarat khurafat dan dijauhkan perkara-perkara yang menjauhkan diri kita dengan Allah SWT,” katanya. – Malaysiapost

