Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim daripada tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram.
Ia berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah, lapor Berita Harian.
Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad supaya Ahli Parlimen Baling itu dilepas tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Acara Jenayah dengan alasan representasi dikemukakan tertuduh dipertimbangkan oleh pihak pendakwaan dan memerlukan siasatan lanjut.
Azura berkata, mahkamah membuat perintah dilepas tanpa dibebaskan di bawah Seksyen 254 (3) Kanun Acara Jenayah selepas berpuas hati alasan dikemukakan pihak pendakwaan kukuh dan memuaskan.
“Oleh itu, mahkamah memerintahkan supaya tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu,” katanya seperti dilaporkan portal tersebut.
Abdul Azeez, 55, didakwa atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan enam pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM972,414.60 berhubung projek jalan raya di Perak serta Kedah.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di lima bank di ibu negara antara 6 September 2010 hingga 10 April 2018. – Malaysiapost

