Nahar Tajri
SAKSI kedua pembelaan, Mejar Jeneral (B) Datuk Fazlette Othman Merican mendakwa beliau diarahkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memantau bekas Setiausaha Eksekutifnya, Mejar Mazlina Ramly berhubung pengendalian akaun peribadi bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Dalam keterangan bertulisnya, beliau mendakwa pernah memaklumkan kepada Mazlina mengenai pesanan yang disampaikan Ahmad Zahid.
“Saya pernah meminta untuk ditunjukkan penyata kad kredit dan cek cek yang disediakan sebelum dibawa untuk ditandatangani oleh Datuk Seri Zahid.
“Bagaimanapun Mejar Mazlina sentiasa memberi pelbagai alasan dan helah dan tidak pernah menunjukkan kepada saya apa yang diminta,” katanya dalam keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Beliau juga memberitahu bahawa Mazlina telah banyak kali ingkar dan tidak menghormati beliau selaku pegawai yang lebih kanan di dalam ketenteraan dan kedudukannya yang lebih tinggi di kalangan kakitangan Ahmad Zahid sepanjang tempoh perkhidmatan.
Menjawab soalan peguam bela, Aiman Abdul Rahman yang mewakili Ahmad Zahid, Fazlette memberitahu Mazlina antaranya tidak hormat dan ingkar apabila bertindak sendiri mengambil semula seorang jurugambar Bernama Pranita Salina yang telah ditamatkan tugasan atas sebab sebab disiplin sebelum itu.
Selain itu katanya, Mazlina terus ingkar untuk menunjukkan segala penyata-penyata seperti diarahkan olehnya sebelum ditandatangani oleh Ahmad Zahid.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Fazlette untuk memberi keterangan bagi mencabar kredibliti Mazlina yang juga saksi pendakwaan.
Bagaimanapun Hakim, Datuk Collins Lawrence Sequerah mengarahkan beberapa kandungan ayat dalam keterangan bertulis yang dikemukakan pihak pembelaan dibuang. – Malaysiapost

