TIMBALAN Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Salahuddin Ayub dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor yang baharu.
Perkara itu diumumkan PH Johor dalam satu kenyataan bersama yang memaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Jeram dipilih hasil mesyuarat gabungan berkenaan baru-baru ini.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai akan dibantu oleh tiga Timbalan Pengerusi iaitu Pengerusi Amanah negeri Aminolhuda Hassan, Pengerusi DAP negeri Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh.
Manakala jawatan Setiausaha pula dipegang Faizul Salleh (Amanah), manakala Bendahari oleh S Gopalakrishnan (PKR) dan Ketua Penerangan disandang oleh Sheikh Umar Bagharib Ali (DAP).
“PH Johor mengadakan mesyuarat baru-baru ini bagi memperkemas struktur kepimpinan PH negeri khususnya selepas PKR menyempurnakan kongres tahunan pemilihan parti.
“Hasil keputusan mesyuarat, PH Johor memutuskan Salahuddin sebagai Pengerusi PH Johor,” menurut kenyataan itu.
PH Johor turut menyatakan kesiapsiagaan untuk berdepan segala kemungkinan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan diadakan pada bila-bila masa. – Malaysiapost

